Saturday, August 14, 2010

Kalam Muqadimah

Bismilahirrahmannirrahim.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana diberikan kemudahan dalam urusan menyiapkan laman blog untuk tatapan pembaca sekalian. Langkah ini adalah salah satu strategi untuk mendekati golongan muda yang merupakan majoriti pengguna internet yang jumlahnya sudah mencecah jutaan orang di negara ini. Mudah-mudahan ikhtiar ini menjadi satu tindakan bijak dalam mengenengahkan konsep kesyumulan Islam dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

InsyaAllah taa'la, saya yang diamanahkan untuk menguruskan ruangan usrah ini akan menerbitkan artikel berunsur keilmuan secara berkala sekurang-kurangnya satu artikel dalam dua hari mengikut silibus yang telah ditetapkan pihak GESIS. 

Dalam apa-apa perkara sekalipun, akidah akan menjadi tajuk utama selain daripada konsep ibadah. Maka, untuk permulaan ini akan diterbitkan artikel-artikel yang akan menerangkan tentang konsep akidah Islam yang sebenar kepada masyarakat.

Peri pentingnya pemahaman kita kepada konsep akidah amat besar sekali. Akidah akan menjadi garis panduan dalam hidup kita. Pemahaman akidah yang sebenar akan memudahkan kita sebagai umat Islam untuk mentafahum konsep-konsep lain dalam Islam seperti persoalan ibadah, jihad dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian, pemilihan tajuk akidah sebagai permulaan amat bertepatan sekali seiring dengan perumpamaan akidah itu sendiri sebagai perkara asas dalam Islam. Bahkan, kalimah akidah sendiri menjadi rukun pertama dalam senarai rukun Islam yang lima iaitu dua kalimah syahadah.   

Oleh itu, diharapkan semua pihak dapat mengambil mutiara-mutiara ilmu yang bakal disajikan kepada semua dalam usaha untuk kita memantapkan diri kita dengan kefahaman serta penghayatan Islam yang tulen lagi sejati, InsyaAllah. Saya akhiri kalam muqadimah ini dengan sepotong hadis Nabi Muhammad SAW;

"(Sesungguhnya) menuntut ilmu itu wajib bagi setiap (orang) Islam"


No comments:

Post a Comment