SEMINAR PEMERKASAAN DAKWAH ISLAM: GESIS BUKA LEMBARAN BARU
Gerakan Syumul Islam (GESIS) hari ini membuka lembaran baru dunia dakwah Islam apabila menganjurkan Seminar Pemerkasaan Dakwah Islam yang julung kali diadakan di negara ini. Seminar yang berlangsung selama 3 hari itu merupakan seminar terbesar yang diadakan yang memfokuskan kepada usaha untuk memperkasakan proses dakwah dan tarbiyah di negara ini khususnya.
Ustaz Ahmad Awang mewakili PAS membentangkan kertas kerja pada hari terakhir |
Antara hadirin yang turut serta |
Seminar yang diadakan di Dewan PUTIK, Kelantan ini membariskan para pembentang kertas kerja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan ulama serta golongan elit profesional. Wakil-wakil daripada parti politik serta NGO-NGO Islam turut menghantar wakil untuk menyatakan pendapat dan berbincang bersama dalam memikirkan perihal langkah terbaik meningkatkan tahap keberkesanan dakwah Islam khususnya kepada remaja Islam.
Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Penangguhan, Ahli Majlis Tertinggi GESIS merangkap Ketua Penerangan GESIS, Ustaz Nurhafizul menyatakan rasa syukur terhadap Allah SWT kerana program yang diatur dengan cukup teliti ini telah berjaya dilaksanakan dengan baik. "Kita bukan sahaja mendapat sokongan daripada pihak kerajaan, parti politik dan badan-badan bebas, malah golongan mahasiswa turut sama menyuarakan pendapat mereka dan kita percaya semua hadirin khususnya dalam kalangan para daie pasti dapat mengutip serba sedikit mutiara ilmu untuk dijadikan penggilap dalam kerja baik mereka" Ujar beliau.
Dalam pada itu, Presiden GESIS dalam ucapan penangguhan beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama pihak kerajaan Negeri Kelantan yang mengizinkan penggunaan dewan PUTIK untuk forum ini diadakan. Beliau turut berharap seminar seumpama ini dapat dianjurkan pada setiap tahun sebagai medan untuk muhasabah diri serta menjadi bengkel kepada para daie membaiki segala kelemahan untuk meningkatkan tahap keberkesanan dakwah masing-masing.
Untuk rekod, seminar selama 3 hari ini dihadiri hampir 10 000 tetamu dengan 46 orang pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara.
GESIS IMPIKAN HIMPUNAN UMAT ISLAM
"Gesis mengimpikan sebuah himpunan umat Islam yang di dalamnya menyebut nama Allah, memuji Allah dan Rasul, berselawat kepada Rasul dan dilimpahi mutiara-mutiara ilmu dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah". Begitu kata Ustaz Nurhafizul merangkap Ketua Penerangan GESIS dalam satu ceramah perdana di masjid Rusila baru-baru ini.
Antara hadirin yang hadir mendengar ceramah Ustaz Nurhafizul |
Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi semasa yang memperlihatkan faktor politik masih menjadi sebab kuat untuk sesuatu program bersifat kerohaniah itu mendapat sambutan. Dalam penerangan lanjut, beliau menegaskan GESIS tidak pernah sesekali menolak kewujudan serta kepentingan politik dalam Islam. Sebaliknya GESIS berpendapat bahawa Islam dan politik tidak boleh dipisahkan kerana ia termaktub di dalam konsep kesyumulan Islam yang menjadi asas kepada penubuhan GESIS.
Cuma dari satu sudut, pihak GESIS amat sangat ingin melihat satu himpunan majlis zikir besar-besaran yang mana seluruh rakyat turun dengan rendah diri semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Bukan atas faktor politik atau lain-lainnya.
Dalam hal ini, pihak GESIS masih mencari jalan terbaik untuk merealisasikan hasrat murni ini dan telahpun bertemu dengan beberapa pihak untuk menjayakannya.
USTAZAH SITI HAJAR SARAN DEKATI ANAK MUDA SECARA BIJAK
Timbalan Ketua Unit Penerokaan dan Strategi Dakwah GESIS, Ustazah Siti Hajar hari ini menyarankan supaya golongan muda-mudi didekati secara bijak. Mengulas perkara itu, Ustazah Siti Hajar yang lebih mesra dipanggil Umi mendedahkan formula terkini hasil kajian Unit yang beliau bertanggungjawab mendapati golongan remaja amat sukar untuk mendekatkan diri dengan program-program berunsur tarbiyah.
Oleh itu para daie disaran supaya membawa program tarbiyah mereka kepada remaja dengan seni dakwah tersendiri. "kalau mereka tak mahu makan sendiri biar kita suap. Ini penting kerana membabitkan pewaris kepimpinan akan datang. Kita tidak mahu umat Islam semakin asing dengan Islam." Ujar beliau.
Beliau turut mengambil contoh antara bentuk seni dakwah yang boleh dilakukan adalah dengan 'mengikat' golongan remaja tersebut supaya program berbentuk pengisian rohani ini tidak asing bagi mereka. "Di beberapa tempat, GESIS telah melaksanakan program-program untuk menarik dan 'mengikat' remaja Islam dengan golongan pendakwah. Contohnya di Kota Kuala Muda, diwujudkan kumpulan-kumpulan tertentu belajar bermain rebana. Dalam beberapa ketika kumpulan ini didekatkan dengan para Ustaz supaya hilang rasa segan mereka. Dan kemudian sedikit demi sedikit kami suntik mereka dengan 'Nur' Islam dengan mengadakan sedikit tazkirah ringkas di penghujung kelas serta mengumpulkan mereka dua minggu sekali untu program usrah."
Dalam pada itu, beliau yang ketika ini memangku jawatan Ketua Unit Penerokaan dan Strategi Dakwah berikutan Ustaz Asri yang sedang menunaikan umrah mengharapkan agar lebih banyak idea-idea dilontarkan supaya seni dakwah Islam dapat dipraktikkan sekaligus meningkatkan tahap keberkesanan dakwah Islam. Di pihaknya sendiri juga masih istiqamah menjalankan penyelidikan kaedah terkini yang berkesan untuk memantapkan dakwah Islamiyah dan berharap kerjasama semua pihak akan dapat menjayakan hasrat murni ini.

