SEJARAH

SEJARAH PENUBUHAN GESIS


Gerakan Syumul Islam diasaskan pada 3 Mac 2003 oleh sekumpulan 20 orang yang terdiri daripada golongan ulama, pemikir Islam, golongan profesional serta para cendikiawan. Penubuhan GESIS merupakan kesinambungan daripada satu siri perbincangan meja bulat yang diketuai oleh Tuan Guru Idrus Malik serta Ustaz Abdul Fatah Awang pada 7 Januari 2003. 

Pada mulanya, sekumpulan 20 orang ini hanya berniat untuk duduk semeja dan berbincang mengenai hakikat sebenar dunia penyebaran dakwah berikutan daripada kajian awal yang dilakukan mendapati dakwah Islam yang digerakkan selama ini gagal menarik minat golongan muda-mudi sehingga berlakunya gejala yang tidak sihat menimpa golongan pewaris kepimpinan negara itu

Situasi yang terjadi ini menggerakkan hati setiap daripada mereka untuk duduk berbincang supaya proses penyebaran dakwah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efisyen. 

Perbincangan tersebut lebih menjurus kepada teknik serta seni dakwah di mana para pendakwah di Malaysia dilihat kurang daya tarikan kerana ketandusan seni dalam berdakwah. Perkara ini menjadi asas penting mengapa umat Islam khususnya generasi muda kurang berminat dengan program yang membina rohaniah diri. Natijahnya, umat Islam dirundum pelbagai masalah kesan daripada ceteknya pemahaman serta penghayatan terhadap Islam.

Rentetan daripada itu, timbul satu syor agar diwujudkan sebuah badan yang dapat mengkaji mekanisme proses penyebaran dakwah yang berkesan, menyelaraskan corak dakwah secara sistematik, menyediakan bentuk-bentuk seni dakwah yang dapat diterapkan para daie seterusnya menggerakkan usaha dakwah ke arah penghayatan islam secara menyeluruh.

Maka pada 3 Mac 2003, kongres Gerakan Syumul Islam yang pertama diadakan dengan beberapa perkara pokok telah dipersetujui dan Ustaz Abdul Fatah Awang menjadi Presiden pertama GESIS untuk tempoh dua tahun.

Kini, GESIS semakin matang dalam merealisasikan hasrat penubuhan dengan mempergiatkan usaha-usaha penerokaan, penyelidikan serta penyebaran risalah dakwah terhadap masyarakat Islam di Malaysia khusunya.